DUGAANNYA bukan sedikit. Pada usia belasan tahun, dia diuji dengan penyakit Multiple Sclerosis yang menyebabkan seluruh badan lumpuh tiba-tiba. Detik malang itu bagaikan satu mimpi bagi bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Kuala Berang, Hulu Terengganu ini.
Apatah lagi ketika diuji, dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sehingga terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu dan menjalani peperiksaan awam berkenaan tiga tahun kemudian.
Menurut Nurul Jannah Roh, beliau mengambil masa hampir sebulan menerima hakikat dirinya disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU), akhirnya insan berusia 24 tahun itu akur dengan takdir berkenaan.
“Mula-mula memang sedih tetapi apabila difikirkan, sebenarnya Allah mahu bagi saya lebih banyak pahala dan keistimewaan lain.
“Sebulan juga saya bersedih, tetapi selepas itu saya menjalani rawatan demi rawatan dan mula berdikari. Masa itulah saya mula terfikir untuk menduduki SPM seterusnya menyambung pengajian.
“Saya dapat tawaran pengajian tetapi mereka tiada kemudahan untuk OKU seperti saya Akhirnya saya membuat keputusan untuk melakukan bisnes sendiri dengan bermula sebagai dropship tudung dan pakaian,” katanya.
Pada tahun 2016, bermulalah kehidupan Jannah sebagai seorang usahawan dengan membuka syarikat Jannah Sweety Enterprise kerana mahu meringankan beban keluarga yang perlu menanggung kos rawatannya.
Selepas itu anak kedua daripada enam beradik itu mula terfikir untuk mempunyai produk sendiri dan dengan duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dikumpul selama lima bulan, beliau menyertai kursus menghasilkan sabun homemade.
Bagaimanapun akibat kekurangan modal, percubaan bisnes keduanya itu gagal. Pun begitu Jannah masih tidak mahu mengalah untuk meneruskan impian menjadi usahawan dan membuat keputusan menyertai kursus rawatan resdung pula ada 2017.
Berbekalkan ilmu dan minat dalam bidang perawatan, Jannah kini menambah perkhidmatannya kepada spa dan kecantikan malah merancang untuk mempunyai kedai sendiri dan juga dibantu beberapa pekerja.
“Alhamdulillah dengan bisnes rawatan resdung, spa dan kecantikan yang diusahakan di rumah di Kampung Tanjung Bukit Mentok, Kemaman, ia mendapat sambutan ramai. Selepas ini saya merancang untuk membuka sebuah kedai bagi memudahkan lagi orang ramai mengenali perkhidmatan yang saya lakukan ini.
“Saya berterima kasih kepada ayah, Roh Ali, ibu, Zainon Shamsuddin, kakak sulong, Nur Shuhada dan juga suami, Muhammad Firdhaus Hasan serta adik beradik lain yang selalu ada di belakang untuk memberi sokongan termasuk dari segi kewangan dan berkorban menjaga saya,” katanya yang mendirikan mahligai cinta bersama dengan seorang jejaka OKU.
Ahli Persatuan Spinal Pantai Timur itu berkata, biarpun kini sibuk menguruskan suami dan bisnes, beliau gembira dengan tanggungjawab itu kerana yakin Allah akan memberi yang terbaik buatnya sekeluarga.
Jannah berkata, keputusan berkahwin dengan insan senasib dengannya itu dibuat di atas dasar cinta dan ingin membantu Firdhaus berdikari sepertinya suatu hari nanti dengan membawanya menjalani rawatan demi rawatan akibat lumpuh bahagian dada ke bawah.
“Golongan seperti kami ini perlu bergerak aktif untuk bergaul di dalam komuniti supaya kami ada tempat untuk mengadu dan tidak terus melayani kemurungan apatah lagi manusia seperti saya yang dilahir sempurna dan tiba-tiba menjadi OKU.
“Mereka seperti ini lagilah memerlukan sokongan orang di sekeliling untuk bangkit dan menerima takdir itu,” jelasnya yang menyaran golongan OKU untuk terlibat aktif di dalam persatuan dan juga sebarang program kemasyarakatan.
Katanya lagi, golongan istimewa perlu mencari peluang untuk memajukan diri sekiranya tiada tempat di pengajian tinggi kerana masalah kemudahan dan bukannya terus menyendiri.
Beliau faham mereka sukar naik turun tangga dan terpaksa mengengsot seperti juga beliau yang banyak kali menghadapi masalah itu apabila menghadiri kursus atau kelas perniagaan yang dijalankan orang normal.
“Walau sesukar manapun keadaan itu, kita perlu berusaha dan jangan takut untuk memulakan bisnes, tidak semua bisnes yang kita lakukan terus berjaya, ada yang cuba tiga hingga empat kali baru menjadi, yang penting jangan berputus asa,” kata Jannah.