HANYA bermula dengan menjual pakaian di pasar pagi dan malam, pasangan suami isteri ini kini berbangga dengan jenama Hayfa Fella yang dibangkitkan mereka di Dungun, Terengganu.
Segalanya berubah apabila mereka mengambil keputusan untuk memasarkan menerusi online pada 2016 dan percubaan itu mendapat sambutan memberangsangkan.
Nur Atika Sofia Yusoff dan suami, Muhammad Zaki Zakaria saban tahun mencari jalan lebih baik untuk memperbaiki kehidupan mereka walaupun terpaksa merantau ke selatan tanah air sebelum kembali ke negeri asal Zaki, Terengganu.
Menurut Sofia yang juga pengasas kepada Hayfa Fella, mereka berniaga pakaian sejak tujuh tahun lalu namun pengalaman Zaki dalam perniagaan dibina ketika berusia 12 tahun lagi.
“Keputusan untuk mengikut suami berniaga di pasar pagi mendapat tentangan daripada orang sekeliling sehingga ada yang bercakap perkara yang tidak sepatutnya mengenai keputusan berkenaan.
“Saya tahu sebagai seorang graduan, ramai yang tidak setuju kerana mereka menganggap saya mensia-siakan diploma yang ada, tetapi saya nekad dan memasang impian untuk membuktikan kepada mereka bahawa menjual di pasar pagi juga boleh berjaya dengan usaha yang istiqomah.
“Suami selalu memberi semangat dan kami percaya kepada rezeki Allah, inilah yang menguatkan kami hingga sekarang dan alhamdulillah dengan apa yang ada hari ini malah dapat membantu keluarga serta pekerja dan juga orang di sekeliling kami,” kata pemegang Diploma Pentadbiran Awam (UiTM).
Menceritakan perjalanan perniagaannya, Sofia berkata, banyak yang dilalui mereka termasuk pengalaman berpanas, berhujan ketika berniaga di pasar pagi dan malam sambil mendukung anak melayani pelanggan.
Malah katanya, mereka pernah berdepan pelbagai ugutan yang membawa kepada laporan polis dan scammer.
Kejayaan hari ini dirasakan sangat berbaloi apabila susah payah mereka berdua dulu, kini HF Apparel Sdn Bhd mempunyai seramai 18 pekerja danmemiliki tukang jahit sendiri bagi menghasilkan pakaian yang dijual secara online dan offline di butiknya di Dungun yang baharu sahaja beroperasi pada Mac lalu.
Keputusan untuk memberi fokus utama kepada online dibuat kerana melihat trend pelanggan hari ini.
“Sebelum itu banyak juga perniagaan yang kami buat dalam satu masasehingga tiada masa rehat langsung, kami keluar sebelum Subuh untuk ke pasar pagi menjual pakaian, tengah hari balik ke rumah masak dan makan, kami keluar semula untuk menjual ayam golek di pasar malam.
“Saya juga menjual produk kesihatan. Sebuah van yang tidak mempunyai pendingin hawa menjadi rumah kedua kami dan pada masa sama terpaksamengheret sama anak kecil ke mana sahaja kami berniaga,” kata wanita berusia 28 tahun itu.
Segalanya berakhir apabila memilih berniaga secara online, ketika itu mereka mendapat curahan rezeki yang tidak disangka-sangka sehinggakan pernah satu ketika ruang tamu rumah penuh dengan bungkusan pakaian yang akan dihantar kepada pelanggan.
“Ketika itu kami berdepan dengan cabaran talian internet yang sangat perlahan kerana kami menyewa di kawasan pedalaman di Johor. Kami terpaksa membalas komen-komen pelanggan di dapur dan depan pintu rumah kerana hanya di dua tempat itu sahaja internet lebih laju.
“Kelakar pun ada jika dikenangkan tetapi semuanya berbaloi dan segalanya dijadikan sebagai pengalaman buat kami membina Hayfa Fella lebih jauh lagi ke hadapan,” kata ibu kepada dua cahayamata.
Sejak berpindah ke Dungun pada 2017, Sofia dan suami memutuskan untuk mengupah tukang jahit supaya pakaian yang dijual Hayfa Fella lebih eksklusif dan up to date selain dapat dijual dengan harga mampu milik. Malah Sofia mengambil inisiatif berurusan sendiri dengan pembekal material pakaian dan aksesori lain dari China.
Tidak hairanlah Hayfa Fella kini mampu menjengah pasaran luar negara termasuk Australia, Turki, Singapura dan Indonesia.
Kata Sofia, kejayaan itu hasil usaha beliau dan juga pekerja yang sanggup susah senang bersama. Bagi beliau, majikan dan pekerja sama sahaja di sisi Allah, cuma perlu ingat tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Beliau sering berkongsi rezeki bersama pekerjanya malah bercita-cita ingin membawa pekerja menunaikan umrah sebagai menghargai jasa mereka kepada syarikat.
Sofia yang turut merancang untuk menghasilkan pakaian sedondon ibu dan anak pada tahun hadapan berkata, majikan harus selalu bersedekah, asbab doa-doa mereka ini rezeki kian bertambah.
“Hendak berjaya bukan senang, untuk berjaya dalam masa satu hari memang mustahil. Apa yang penting lakukan bisnes yang kita minat dan bukan ikut trend semasa atau ikut orang lain buat.
“Bukan setiap masa manusia akan berada di atas, carilah redha Allah, doa ibu bapa dan pekakkan telinga dengan kata-kata negatif orang sekeliling. Yakin rezeki Allah, jaga pelanggan dan kualiti produk,” katanya.