DIKURNIA kesihatan dan mempunyai pancaindera sempurna serta cukup sifat adalah nikmat kurniaan IIahi kepada manusia supaya dapat melakukan perkara yang baik bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi keluarga dan masyarakat.
Namun sekiranya dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), kecacatan tersebut bukanlah alasan untuk tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh dilakukan manusia normal seperti bekerja, bergerak, melakukan aktiviti dan sebagainya.
Prinsip itu turut menjadi pegangan kepada Pengusaha Pusat Terapi 3R, Aziz Musa yang membuktikan golongan OKU sepertinya boleh berjaya setanding orang normal.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam perniagaan, beliau memulakan perkhidmatan Pusat Terapi 3R sejak empat tahun lalu bermula 2016 dengan menawarkan servis terapi yang digabungkan dengan tiga elemen iaitu rendaman kaki, ruqyah dan refleksologi.
Antara rawatan yang disediakan di Pusat Terapi 3R milik Aziz bertempat di Kampung Surau Haji Yaakub Bukit Payung, Marang, Terengganu ialah urutan kaki refleksologi, urutan badan yang digabungkan dengan pakej refleksologi dan ruqyah dan spot massage. Pelanggan juga diberikan air terapi Darul Syifa yang dibacakan ayat-ayat suci al-Quran secara percuma.
“Sebelum ini saya pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Koperasi Assalam Terengganu Berhad, koperasi itu berada pada tahap kemuncak dengan mencapai jualan yang memberangsangkan.
“Saya juga pernah mengikuti latihan secara khusus mengenai perawatan Islam pada 2010 di Pusat Rawatan Darul Syifa dan telah diberikan Ijazah mengikuti kursus oleh Almarhum Ustaz Dato Dr Harun Din pada msa itu,” ujar bekas pesara kerajaan ini.
Namun dirinya berdepan dengan masalah kesihatan serius pada 2015 apabila doktor mengesahkan beliau mengidap penyakit Saraf Retina.
“Apabila saya mengetahui penyakit ini, mulanya saya hilang semangat dan tertekan kerana salah satu deria pancaindera saya hilang. Saya mengalami penglihatan yang kabur serta mengidap penyakit saraf.
“Namun apabila memikirkan sampai bila saya harus bersedih mengenangkan nasib diri, menyebabkan saya bangkit dan buat sesuatu untuk memberi manfaat kepada orang lain serta ingin membantu meningkatkan ekonomi keluarga. Dari situ timbulnya idea untuk menubuhkan Pusat Rawatan 3R ini melalui ilmu dan kemahiran yang pernah saya pelajari sebelum ini.
“Semangat saya kembali pulih setelah melihat kawan-kawan OKU boleh berjaya. Saya juga ingin membuktikan kepada masyarakat, golongan OKU yang ditarik nikmat pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, bisu, lembam dan cacat anggota badan boleh berjaya sekiranya mempunyai kemahuan dan ilmu yang boleh dipraktikkan dalam sektor perkhidmatan dan perniagaan seperti urutan, refleksologi dan menjadi pengamal perubatan Islam,”katanya.
Timbalan Pengerusi Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia PERTIS Wilayah Terengganu berkata, golongan OKU tidak boleh mengalah dan hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) kerana golongan ini harus membuktikan kepada masyarakat mereka boleh mengubah diri sendiri dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
Bercerita mengenai jatuh bangun dalam perniagaan yang diusahakan, Aziz berkata, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada mulanya.
“Alhamdulillah, pada awalnya saya hanya memulakan secara kecil-kecilan dengan menawarkan servis urutan di pusat terapi ini. Namun hasil sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan terdiri daripada kawan-kawan sekerja selain mempromosikan secara meluas di media sosial serta menjadi buah mulut daripada pelanggan menyebabkan saya bersyukur ilmu yang saya pelajari dapat saya praktikkan dengan membantu orang lain.
“Impian saya pada masa akan datang ialah ingin melihat kerajaan memberi pengiktirafan kepada golongan OKU yang berjaya dan berhasrat mengembangkan perniagaan ini dengan membuka cawangan di tempat lain pula dalam jangka masa 10 tahun akan datang,” ujarnya.